rencana utusan malaysia : 14/05/2007
Oleh RATNA ROSHIDA ABD RAZAK*
Dalam peradaban Islam, buku merupakan seorang kekasih dan teman yang paling setia dalam memimpin ke arah kebenaran dan membentuk kemajuan unggul.Sikap orang Islam ketika itu yang mencintai buku jelas dilihat dari kehidupan seharian mereka terutama ketika mereka berbicara.
Profesor Ahmad Shalaby dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Pendidikan Islam ada menyatakan bahawa di dalam sejarah Islam pernah diriwayatkan apabila seseorang berbicara tentang buku, maka pendengarannya akan mengira bahawa dia sedang berbicara tentang seorang yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu atau seorang pemimpin yang memimpin ke jalan kebenaran dengan satu tujuan yang suci murni.Dalam buku ini beliau juga telah menulis satu bahagian yang khusus tentang hubung kait buku dan perpustakaan.
Di zaman Harun al-Rasyid yang merupakan kemuncak kepada perkembangan ilmu di bumi Arab, terutama apabila Baitul Hikmah yang merupakan perpustakaan dan juga sebuah pusat penterjemahan mula beroperasi.
Di sinilah tempat berkumpul segala ilmu yang didapati dari tamadun-tamadun luar seperti kaedah mantik atau logik dari tamadun Yunani, penghasilan kertas dari tamadun China dan ilmu nombor diambil dari tamadun India. Ilmu yang dikumpulkan ini terus dikaji dan diselidiki dengan lebih mendalam dan juga diterjemahkan ke dalam bahasa Arab dan dihasilkan semula dalam bentuk buku untuk dimanfaatkan oleh semua.
Bagi pencinta ilmu, buku merupakan pasangannya yang paling setia. Ke mana sahaja mereka pergi akan tetap ditemani oleh pasangannya ini. Al-Jahiz, seorang ulama besar Islam yang mempunyai komitmen tinggi terhadap ilmu dan pembacaan sehingga mati tertindih oleh buku-bukunya pernah berkata: “Buku itu akan diam bila engkau menyuruhnya diam. Dia tidak akan mengganggumu kalau engkau sedang bekerja. Tetapi bila engkau diulit kesepian dialah teman yang akan menjadi temanmu yang paling baik.”
Dalam mencari buku yang boleh dijadikan pasangan atau teman, aspek kualiti buku perlulah diberi perhatian yang sewajarnya. Buku-buku yang merupa karya besar atau agung dalam pelbagai tradisi bangsa dan peradaban manusia amatlah penting terutama dalam memanusiakan pembaca kerana ia mewakili tradisi dan perkembangan pemikiran dan intelektualisme sesuatu bangsa.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa betapa hanya dengan ketinggian budaya ilmu, sesuatu bangsa telah dapat mempengaruhi negara dan bangsa lain yang lebih besar dan kuat. Karya-karya besar merupakan khazanah komprehensif tentang maklumat dan ilmu pengetahuan dalam semua lapangan bidang ilmu yang berkembang dalam sejarah peradaban manusia. Kefahaman kepada idea dan gagasan besar yang dilontarkan merupakan usaha manusia untuk memahami dan menghayati kebijaksanaan yang merupakan santapan mental dan rohani manusia.
Muhyiddin Ibnu Arabi, seorang ahli sufi klasik yang tersohor pernah menceritakan tentang penghargaan seorang ulama tentang buku: “Belum pernah ku melihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju atau taman bunga yang dibawa dalam pangkuan.” Dalam sejarah peradaban Islam, buku juga berperanan sebagai terapi atau dikenali sebagai biblioterapi. Bagi ulama pencinta ilmu, mereka akan meletakkan buku di atas kepala mereka untuk menghilangkan sakit kepala atau demam. Sekiranya telah hilang rasa sakit mereka akan terus membaca buku tersebut.
Antara buku dan budaya menulis merupakan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan sebagaimana Sayidina Ali pula pernah berkata “Ikatlah ilmu dengan menulisnya.” Prof. Hamka juga berkata bahawa jika seseorang sudah mencapai tahap membaca yang tinggi, secara semula jadinya akan terpanggil untuk memindahkan ilmu pengetahuan yang didapatinya dalam bentuk penulisan.
Ini jelas dilihat dalam diri Prof Hamka sebagai seorang ulama, sasterawan, pemikir dan penulis. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam pendahuluan bukunya yang bertajuk A commentary on the Hujjah al-Siddiq of Nur-Din al-Raniri menyatakan bahawa “Sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini adalah menulis sebuah buku; kerana sebuah buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus.”
Dalam hal ini buku berperanan sebagai penzahiran pemikiran seseorang melalui tulisan. Sebagai contoh Syed Sheikh al-Hadi, seorang tokoh pembaharuan Islam yang hidup sezaman dan seangkatan dengan Muhammad Iqbal, pemikir Islam tersohor dari Pakistan. Sifatnya yang agak positif dengan Barat sering kali disalahertikan.
Beliau menyarankan ajaran Islam harus menerima idea dan falsafah Barat agar umat Islam boleh mengecapi kemajuan dan bersaing dengan bangsa lain. Bagi beliau wadah yang terpenting dalam menyampaikan idea ialah melalui kaedah penulisan sama ada buku ataupun majalah. Hal inilah yang bolah digunakan untuk mengejutkan umat Islam di Malaysia dari tidur untuk bangkit menebus kemunduran masa lalu.
Bagaimanapun hal ini masih tidak diberi perhatian yang begitu serius sehinggalah ke hari ini. Oleh itu tidak hairanlah walaupun negara Malaysia begitu kaya dengan hasil buminya namun anak watan, khususnya bangsa Melayu masih lagi tidak dapat memanfaat sepenuhnya lantaran kekurangan pengetahuan tentang bagaimana semuanya itu dapat digunakan.
* DR. RATNA ROSHIDA ABD. RAZAK ialah pensyarah Bahagian Falsafah dan Tamadun Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Pulau Pinang.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0514&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment